20120331

doktor, pengukur dan penulis

sampai saja stesen ktm, mama yang datang jemput tapi bukan dengan kereta kancil warna biru, tapi kereta lain yang anas pandu. abah duduk depan. mama cakap abah tak sihat, demam panas dan badannya tumbuh biji-biji lepas dialisis semalam. penuh satu muka dan belakang badan. 

saya terkejut.

sampai hospital, ada pegawai kesihatan yang tolong carikan kerusi roda. saya tolong abah keluar dari kereta, abah jalan terhuyung hayang dan dah tak stabil. waktu itu air mata dah nak bertakung. waktu tunggu nombor giliran dipanggil, abah nampak sangat tak bermaya dan dia hampir-hampir terlena atas kerusi roda. mama cakap abah demam dari hari selasa lagi, dan sekarang badannya masih panas.

abah terpaksa masuk dua bilik pemeriksaan. bilik pemeriksaan kedua, doktor sendiri nampak tak pasti apa yang terjadi pada abah. doktor-doktor pelatih. tapi akhirnya doktor putuskan yang abah mungkin terkena chicken pox. pada umur 64 tahun abah kena chicken pox? abah kena tahan wad sebab doktor cakap kondisi abah agak serius tambahan abah memang ada banyak penyakit lain, dan mereka nak rujuk kes abah pada pakar.

waktu menunggu di hospital, saya tengok doktor-doktor pelatih kehulu-kehilir. tiba-tiba teringatkan, husna, faseehah, lan, muaz dan beberapa kawan lain yang ambil medik sekarang. bukan senang untuk pilih jalan macam itu. saya sendiri dah mengalah awal-awal dan masuk aliran teknikal waktu tingkatan 4. tapi semalam, tiba-tiba saya salahkan diri tak ambil sains tulen dan pilih bidang perubatan sebagai kerjaya. sekurang-kurangnya bila jadi macam ini, saya boleh tolong abah, tolong mama. tak pun jadi jururawat macam kak yati. sekurang-kurangnya boleh juga jaga abah dan mama dengan pengetahuan yang ada. ini tak, setakat belajar simen, batu bata, siling blablabla buat apa? bukan boleh tolong abah bila abah masuk hospital pun.

tapi, jiwa saya sendiri bukan dalam bidang sains. belajar sains masa PMR pun macam orang gila, ada hati nak ambil biologi, ada hati nk ambil sains hayat, ada hati nak ambil medik??

dan sekarang dah tertulis saya belajar untuk jadi pengukur bahan. walaupun saya tak ada perancangan masa depan pun nak masuk bidang construction. nak patah balik memang mustahil. saya dah habiskan 2 tahun untuk ini, masih berbaki 3 tahun lagi. 

dan jiwa saya tak ada aura doktor ataupun pengukur. saya suka benda lain, saya ghairah benda lain. patutkah kita korbankan benda yang kita suka untuk masa depan orang lain, atau patutkah kita teruskan keghairahan kita tapi buatkan orang yang kita sayang bakal susah disebabkab pilihan kita?

benda yang saya suka ada masa depan yang kurang cerah. tapi jalan yang saya berada sekarang ada masa depan yang penuh dengan duit, cuma mungkin saya yang akan rasa kurang bahagia nanti. ya, saya bukan nak gaji banyak beribu-ribu, tapi duit beribu-ribu itu perlu untuk mama dan abah, untuk balas jasa mereka. bagi saya cukup kalau saya gembira dengan apa yang saya buat, walaupun hasilnya sikit. 

tapi, tak wajar untuk jadi manusia pentingkan diri kan? abah dan mama letak harapan tinggi pada si pengukur yang tak gembira ini.


p/s; mama, abah. jangan tinggalkan kami lagi. masih banyak yang kami nak balas.