20180119

simptom

tipulah kalau aku kata perjalanan aku selepas graduasi seindah cerita-cerita di instagram. dua tahun setengah memperlihatkan aku tidak punya apa-apa. tinggal di kota petaling-yang mungkin kurang sikit lemas berbanding ibu kota lumpur- menuntut hampir seluruh tenaga dan hasil aku. tidak makan mewah, tidak berpakai molek, tidak beroda empat, apatah lagi berlibur pijak pasir sambil berfoto tepi pantai.

okay, mungkin aku kurang tuah dalam hal-hal material, tapi harus aku akui dalam hal-hal yang melibatkan waktu aku sedikit menang. meski tak hidup mentereng seperti kawan bekas sekuliah lain, tapi sekurangnya aku tak pulang lewat dari kantor 7 hari berturut-turut, ataupun menangis tertekan kerana kerja yang tidak punya hati lagi menyesakkan. tapi yelah, kontranya tetap terletak di posisi yang sama - tak banyak waktu yang terluang pada kerja menyebabkan aku kurang cekap, kurang pengalaman, kurang ilmu berbanding mereka yang betul-betul gunakan 2 tahun setengah ini BERKERJA. atau dengan kata lain; kalau nak dibandingkan aku dengan pengukur lain mungkin tahapnya berbeza seperti budak tadika dan budak UPSR,

tapi aku kira aku bernasib baik dan mahu peluk Rabb secara virtual tentang apa sahaja yang Dia berikan pada aku.

kerana 2 tahun setengah ini mengajar aku banyak benda (walaupun bukan dalam hal kerja). aku ditempatkan bersama golongan peringkat umur yang sudah senior, bermakna aku paling muda dan jagung disitu, lalu disebabkan itu aku belajar sesuatu yang sangat berbeza dengan ketika aku kuliah dengan rakan sebaya. meh sini andaikan; andaikan bila kau sentiasa melihat dari arah depan, berkawan dengan golongan yang berbeza dengan kau adalah seperti melihat footage cctv dari arah belakang. faham? (lebih kurang begitulah, kawan). menjadi yang paling muda juga menuntut aku menjadi orang yang lebih memberi; memberi tolong, memberi tangan, memberi telinga, memberi sabar dan memberi hati.

hal yang kedua aku dapat adalah tentang apa itu cukup.

cuba kau bayangkan, aku pernah terima gaji bulanan 1.5k sahaja. hidup di kota dengan nilai begitu sesak kawan, sesak. tapi aku cuba ajar diri aku meletakkan sepenuhnya kepercayaan pada Rabb, yang cukup itu bukan pada nilai tapi lebih kepada barakah. duit yang ada aku susun dan agih sebaiknya, bayar bil, komitmen, dan serahkan sedikit pada mama, alhamdulillah cukup malah ada sedikit lebih baki. malah bulan itu akan aku kenang sebagai bulan aku mula menjadi perempuan yang bangsa melayu aku mahu iaitu 'perempuan yang tahu memasak'. aku balik rehat tengahari semata-mata untuk masak apa yang ada untuk alas perut. haih hidup mengajar kita sesuatu dan kita mengikutnya dengan rela, bukan?

aduhai, bila lihat aku tulis panjang-panjang begini buat aku mengeluh. ya aku dah menua, dan suka berleter panjang adalah simptomnya.


20170812

ehem

aku memasuki fasa-fasa ketakutan menulis.

bertemankan empat wanita matang dan berpendirian dalam bilik dingin hawa tidak lebih dari membuatkan aku gugup. idea-idea mereka menggegar dunia atau seperti dikata pak andrea; tres bien, excellent! dan aku pula hadir sebagai budak hingusan yang kerap kali ketandusan, lupa nak cakap apa, tergagap, terkincit dan sebagainya. tapi patutnya sesi penulisan tak ada apa yang patut aku rungsingkan dengan tekanan dari pihak luar (contohnya empat wanita matang dan berpendirian), yang sebenar aku rungsing dan susah hati pastilah kerana diri aku sendiri. santai, tidak fokus dan ilmu didada lebih sedikit dari zero.

sebagai contoh sejak awal minggu ini aku berjinak-jinak dengan buku dan artikel, tapi artikel akhirnya aku baca 15 minit sebelum tidur dari keseluruhan 2 jam aku luangkan. dan hari ini sedikit cemerlang apabila aku berjaya fokus hampir 1 jam membaca tapi itu masih tak memberi makna apa-apa. 1 jam itu sebenarnya membuatkan aku kesamparan memikirkan banyak yang masih aku perlu baca, teliti, cari dan hadam.

tapi rahmatnya adalah apabila aku dijodohkan terbaca berkenaan teori perkembangan moral Kohlberg. aku rasa teori ini padan betul kalau dimasukkan dengan buku klasik anak mat lela gila yang aku baca kelmarin, ya yang sebenarnya tiada kaitan dengan kerja aku. tapi tak mengapalah, aku suka juga bila dapat berfikir kritis begini daripada asik menciap burung tak kira siang malam. ehem.

20160718

pilihan (II)

berkisar tentang pos beberapa minggu lepas, hari ini aku kembali menulis tentang pilihan.

ya. aku sedang membuat pilihan.

dan kini aku sedang menyusun dokumen dokumen penting yang diperlukan untuk pilihan aku. aku sedang mengumpul buku buku yang bakal aku jadikan rujukan dan makanan untuk pilihan aku nanti. aku tekad, kali ini adalah keputusan yang aku buat khas untuk diri aku, dan bukan kerana kepentingan orang lain. kerana aku akan hidup untuk tahun tahun selebihnya nanti untuk aku, bukan orang lain.


bah, kalau eyah nak amik ni boleh?

tak boleh. itu bukan ada masa depan. buat apa yang ada masa depan.


tapi ini adalah jiwa aku, akan aku buktikan pada dia yang ukuran masa depan itu sebenarnya luas. esok juga adalah masa depan, yang penting dalam esok atau masa depan yang lebih depan kita mampu senyum gembira bersyukur dan tak menyalahkan masa lalu.

pilihan senantiasa ada dalam tangan kita, kawan.
         
         

20160630

tahun pertama dan ketiga

lagu lagu raya telah mengetuk pintu dan memasuki ruang bertemu kami semua di pejabat dengan pakaian warna warni, manakala lagu lagu qasidah puja pujian yang telah selesai minum di meja tamu minta undur diri, walau sebenarnya mereka masih belum sempat menjamu pencuci mulut.

kamu pulang beraya ngak lebaran nanti?

tidak embak, udah lama tidak pulang. tahun ini beraya di sini aja bersama anak.

iklan iklan raya berputar di otak aku, sinonim iklan raya yang bercerita tentang anak yang yang diperantauan pulang ke kampung. sekurang kurangnya hidup aku tak sesedih iklan raya mahupun kisah tukang cuci pejabat yang tak pulang ke kampung raya ini. mungkin surabaya merinduinya, setebal dia merindui surabaya.

kenapa ngak pulang lebaran?

ngak cukup duit embak. terakhir pulang waktu anak saya lagi meninggal, lalu pulang ke kampung dikebumi di sana.

memang benar, bukan semua bertuah. ada yang pulang ke kampung lebaran dengan duit penuh di poket dan dinanti dengan tangan mendepa ibu ayah mahu memeluk, ada yang tak pulang lebaran kerana memenuhkan poket. aku pulang kekampung dengan bekalan tak sepenuh orang lain, dan sambutan pelukan yang tak semeriah orang lain, namun beruntungnya aku masih mampu pulang. kerana tanpa disedar, ada yang tak mampu peroleh walau salah satunya sekalipun.

aku lihat jam tangan di pergelangan kanan aku, sudah jam 12. sampul duit gambar RHB bank aku ambil lalu beri pada tukang cuci.

Terima kasih embak, semoga bertemu lagi ramadhan tahun mendatang.

ini ramadhan terbaik aku, walau masih banyak lopong amal ibadat. dan aku harap bakal bertemu lagi ramadhan akan datang agar dapat dijadikan ramadhan hadapan lebih baik dari yang terbaik ini.


p/s; salam lebaran.
          

20160602

daging bernama hati

perjalanan ini sepertinya tidak membawa aku kemana mana
sebaik mana pakaian yang aku salut ke tubuh
hati aku tetap kotor
seperti ianya tidak turut membalut molek daging bernama hati
seperti aku menunggu sutera dari langit
yang putih, bersih dan bertulis ayat ayat magis dari Kau
seperti aku menunggu para para malaikat turun ke bumi memberi aku surat
yang menyatakan bahawa jalan yang aku pilih dan lalu sebenarnya memang kepada Engkau
seperti aku menunggu sesuatu yang ajaib, yang kerap kali ditulis dalam buku buku

kenapa tuhan? kenapa hati aku begini?

adakah aku adalah sebuah cerita yang tak siap?
adakah aku adalah sosok hitam dalam cerita yang tak habis ini?
adakah aku adalah salah satu munafiq yang kau tulis dalam kitabMu?

kerana semakin aku cuba dekat, semakin aku sebenarnya jauh