saya sebenarnya malu.
tadi mama yang baru balik dari kenduri kahwin bercerita. tentang ustaz muda yang juga merupakan jiran belakang rumah. ustaz muda yang ayahnya imam surau kami dan dia sekarang sedang mengaji di akademi pengajian islam universiti malaya. dia sebenarnya kawan sepermainan kami waktu anak-anak dulu.
mama cerita yang ustaz muda tu ada juga bercerita yang dia kadang-kadang ada terserempak saya di universiti malaya, tapi takut untuk menegur sebab bimbang salah orang. mama kemain kalau jumpa ustaz muda mesti dia akan bercerita dengan saya. tak pula mama cerita pada firdaus walhal firdaus kawan lama ustaz muda tu. dan saya sengih-sengih dengar cerita mama.
saya memang ada terserempak dengan ustaz muda tu selalunya. tapi memang tak akan tegur sebab segan. dulu kecil-kecil bolehlah main bola sama-sama, main polis dan pencuri sama-sama, main sorok-sorok bersama, tapi itu dulu. zaman mumaiyiz. sekarang jauh bezanya. sekarang dia ustaz muda si ahli tahfiz. kalau musim cuti selalunya dia akan naik jadi imam surau kampung gantikan ayahnya sebentar. bacaannya sedap sekali.
kalau bercerita dengan cik aina pasti akan terkeluar topik kahwin. selalunya dia yang akan jadi modal mengusik sebab almaklumlah dah berpunya. tapi tak lama lepas tu dia mesti balas balik 'alaa tak apa ada ustaz muda tunggu kau' dan cik aina pun tak nak kalah mengenakan balik. tambahan lagi kami sekampung.
dan saya selalunya senyap saja. ustaz muda tu mesti dah ada pilihannya. maklumlah orang baik-baik perangai. saya dengan perangai yang kacau bilau rasanya tak layak nak letak harapan apa-apa. kan?
errr entri kali ini kenapa ye?
saya sebenarnya malu. kita selalu inginkan terbaik dalam hidup. universiti terbaik. ibu bapa terbaik. keputusan terbaik. rezeki terbaik. jodoh terbaik. tapi pernah tak kita beri yang terbaik pada orang lain? kebiasaannya kita akan fikir mengenai diri kita dahulu. jarang kita letakkan orang lain lebih atas dari kita. kita mahukan ibu bapa yang terbaik, tapi selalukah kita jadi yang terbaik sebagai anak? kita mahukan tempat belajar paling terbaik dan berprestij, tapi kita juga yang sering tak ambil serius dalam menuntut ilmu. mahu kawan yang setia, tapi kita sendiri membelakangi dia bila kita terdesak memuaskan kehendak sendiri.
dan kalau jodoh, kita mahukan ciri-ciri yang hanya kita mahu. mahu begini begitu, senarai berjela, impian tak nak kalah menggunung. tapi kita sendiri (yang asyik sangat meminta-minta) macam mana lakunya?
sekali lagi, saya sebenarnya malu. saya tak layak berbicara mengenai rezeki dari TUHAN sedang banyak nikmat DIA telah saya kufurkan.
bicara mengenai jodoh buat saya sangat sensitif. bukan sebab rupa, tapi sebab akhlak.
dan sekali lagi, saya sebenarnya malu (sangat).