20140414

takdir

dan tuhan sebenarnya telah menakdirkan kamu untuk berada disini hari ini.

aku tak ingat siapa yang cakap ini, mungkin pak abu, mungkin juga pak firdani, atau mungkin pak hanis. tapi aku yang separa tersengguk tiba-tiba segar macam bunga pagi bila ayat ini masuk dalam telinga aku. aku perlahan anguk. tersangatlah benar ayat itu kalau dalam situasi aku. aku hampir 99 peratus tak ke kem ini kalau tuhan menakdirkan aku bangun 5 minit lebih lewat dari waktu yang aku bangun khamis kelmarin. mujur ada intan yang tenang, berjaya dia ketuk bilik gelap aku dan tengok aku masih tidur bila jam sudah 7.30 pagi padahal kami sepatutnya sudah berkumpul 30 minit lalu. jadilah aku tikus cencorot bersiap dan kami berjaya sampai ke bas 3 minit sebelum bas bertolak dengan separuh nafas.

dan tuhan juga sebenarnya menakdirkan kami bersebelahan katil dengan seorang gadis genit berkaca mata, yang aku pasti aku kenal dia cuma memori otak aku sejak kebelakangan ni mereput jadi aku lupa pertemuan awal aku dan dia bermula dimana. aku tanya dia, kemudian jawapan dia buat aku senyum

saya sekolah di seri bintang utara.

ya ini gadisnya. gadis yang waktu kali pertama aku jumpa adalah seorang gadis polos dan naif yang berumur 13 tahun, dengan tudung pin bawah dan kasut hitam berstokin, junior aku waktu di asrama kampung pandan. kami borak panjang, tentang asrama, tentang kawan-kawan lama, tentang itu dan ini. aku ketawa, aku bertanya, aku bercerita dan aku menjerit, segala tentang asrama buruk itu berbangkit. dia sendiri gian bercerita sebab peluang untuk jumpa pelajar asrama lama adalah sangat tipis lagi-lagi di UM. tapi kemudian dia lanjut berkongsi

tapi asrama kita tu dah roboh dah kak. pembinaan MRT.

betapa aku menyampah dengan asrama itu dulu, aku berkawad baldi sepanjang koridor dibuli senior pada minggu pertama, katil aku banjir kena hujan sebab masalah tingkap, tidur mencangkung sambil angkat tangan beramai-ramai atas tuduhan mencuri yang mengarut, menunggu giliran mandi dari pukul 4 pagi tapi hanya dapat mandi 2 jam selepasnya dan banyak lagi cerita tak masuk akal lain. kami sendiri ejek bangunan asrama macam balai polis sebab dicat biru, tapi bila tahu ia dah roboh dan aku sendiri tak dapat nak sentuh dinding dan lantainya lagi bukanlah berita yang seronok untuk didengar.

asrama yang mengajar aku lebih dari cara nak basuh baju sendiri dan bangun pagi. aku baru berkira nak menginap disitu waktu latihan industri aku tapi nampaknya angan-angan itu aku pulangkan saja kat mat jenin. mana mungkin aku kembali ke jalan nakhoda I yang kawasannya dikelilingi rumah-rumah kerajaan lama yang sangat sentimental pemandangannya, tak mungkin juga aku bakal tidur atas katil banjir aku yang sangat strategik sebab boleh nampak klcc dari atas tilam. aduh, tak mungkin.

ya, tuhan telah menakdirkan aku untuk ke sini dan menyusunkan aku untuk berjumpa dengan gadis putih manis ini, lalu terimbaslah memori-memori tujuh tahun lepas yang kemudiannya membuatkan aku sedar perasaan sebenar pada asrama itu; bukan benci, tapi sayang.

kak, teruja gila tahu akak asrama tu jugak. tiba-tiba saya teringat sangat kat sana. orangnya, bangunannya, semuanya.

sebelum naik bas balik ke kuala lumpur aku usik intan, yang apa jadi kalau kita tertinggal bas khamis kelmarin. kita tak akan kesini, masuk hutan, sembelih ayam. intan senyum.

kita memang ditakdirkan disini.