20150520

ulasan; kunang pesisir morten

baru baru ini aku membaca kunang pesisir morten hasil tulis dari raiha bahaudin, kebetulan buku yang sama aku dan kawan aku olai beli waktu pesta buku pwtc mei kelmarin. ada dalam 20 muka surat perjalanan pembacaan, aku terus hantar pesanan pada olai,

'mashaallah laiii kunang pesisir morten buku ini!!'

tak sampai separuh apa yang aku baca, buku ini terus mengingatkan aku kepada nukilan tetralogi andrea hirata laskar pelangi. persis sekali tetapi dengan nafas tanah melaka yang kuat menggambarkan malaysia pada era 80an.

aku kira kepada sesiapa yang sukakan buku tentang kehidupan dan rahmat disebalik kesempitan dan kesusahan, buku ini pantas sekali. di dalamnya raiha membuatkan kau percaya rahmat Tuhan sentiasa ada di atas bumiNya, tak kira pada sesiapa pun. dan kunang pesisir morten secara bijaknya menggunakan kisah hidup kanak-kanak yang lebih dekat dengan diri kita, kerana semua manusia dewasa pernah menjadi anak kecil, jadi untuk berada di atas kasut adi, dhiya dan lim bukanlah perkara yang sukar, kerana kehidupan kanak-kanak itu juga sesuatu yang kita semua pernah ada dan lalui.

satu prinsip dan disiplin penulisan yang jarang-jarang sekali kita boleh lihat pada penulis tanah air. dikala kau sudah terlalu bosan dan muak dengan keluaran tempatan, pastinya kunang pesisir morten karya yang boleh mengubat. input buku juga seperti tangan tua yang memukul kepala aku atas sebab kebodohan dan kekurangan ilmu dalam sejarah malaysia terutama sekali pengetahuan tentang negeri pertama tanah melayu. selain tentang bagaimana terhasilnya perkampungan morten, adi dan dhiya juga turut membawa aku berlari bersama mereka di jambatan lama setiap petang.

dan yang paling penting, kisahnya tidak terlalu fantasi. cukup berpijak atas bumi yang keras bahawa setiap dari kita Tuhan tentukan jalan dan laluan yang unik untuk dilalui. lim dan adi yang akhirnya berpisah dengan permata mereka dijadikan penulis sebagai satu alasan yang kukuh; hidup bahagia itu bukan hanya terletak pada kebersamaan geografi, asalkan hati mereka tetap sama, lalu semangat perempuan kunang itu meresap ke dalam jiwa mereka sehingga tanpa mereka sedar mereka pun dewasa.

berdoalah pada tuhan agar ini bukan yang terakhir kali kita dapat membaca perjalanan sebaik ini. terima kasih raiha dan kunangnya.