20160221

pokok rimbun bunga kuning

setiap pagi aku akan berjogging (berjalan?) ke tempat kerja. kadang kadang lima belas minit, kadang kadang sepuluh minit -itu bila aku dah terlambat. minggu minggu terawal aku selalu kena salak anjing banjingan milik orang orang kaya rumah dua tingkat yang buat aku terkejut sehingga melatah terlompat tiga sentimeter dari tanah. tapi bila dah terbiasa pagi jadi indah sekali, anjing anjng yang dah lali dengan bau aku hanya jelir lidah di tepi pagar sambil tunggu aku jelir lidah kembali pada mereka. ada satu pagi menjelang waktu dhuha aku berjalan bawah pokok berbunga kuning yang sedang merimbun gugur. dengan cahaya oren pagi, bunga kuning, angin nyaman, langit biru. duhai.

bagaimana dunia berputar boleh secantik ini, tapi manusia tak sedar.

dan pagi tadi aku berpergian ke satu forum pasal fiqh kotaraya. lemas rasanya bila selalu diingatkan tentang realiti kehidupan di bandar masa kini, bila bandar hilang manusiawinya. seperti mahu bangun dan jerit, memperbunyikan segala rasa lelah, kecewa dengan semua yang berlaku, dengan manusia yang sudah tidak berjiwa manusia yang turut megheret si miskin menukar agama menyembah wang.

selalu aku teringat pada rumah rumah orang kaya, yang terlalu besar tapi nampak sunyi sekali. cuba aku kaitkan dengan rumah perumahan flat murah Pantai Dalam yang bersesak sesak satu sekeluarga dalam rumah kecil. mungkin rumah besar mahal hanya dibuat untuk diduduki jin dan hantu dan kemudian manusia hanya mampu duduk tak berumah.

pagi lusa aku akan mula berjalan lagi seperti biasa ke tempat kerja, sepertinya aku pun sudah kehilangan separuh semangat mengenangkan hidup di hujung zaman. benarkah duit sepenting itu, yang boleh membeli segalanya dan membiarkan kemanusiaan tak ubah seperti benda murah tak bernilai milik orang miskin pemalas?

aku harap pokok rimbun masih berbunga kuning esok, buat aku mengingat yang hidup ini tuhan yang punya. tuhan yang punya.