20120729

permulaan gadis-pertama-waktu-kecil

saya dan dia membesar bersama. kadangkala berkongsi getah rambut, berdokongan dari hujung sini ke hujung sana, mandi tanpa pakaian bersama dan tanpa ragu, dialah antara gadis pertama waktu kecil saya. paling penting, dia, saya, dan adik perempuannya merupakan jelmaan si kuat nangis yang meleceh dan menjengkelkan bagi saudara-saudara lelaki kami.

perkara biasa kalau anak perempuan sekadar jadi mangsa buli dan ejekan anak-anak lelaki keluarga ini.

cuma sebulan yang lalu waktu saya masih di kem, mama khabarkan yang gadis-pertama-waktu-kecil itu hilang dari rumah. lalu menangislah ibu beranak 12 mengenangkan anak daranya hilang tanpa kesan. angin-angin khabarkan yang dia sudah tidak tahan lagi hidup berhimpit bersesak dalam rumah kecil bersama 17 yang lain. dan bagi saya khabar itu rasional. anak gadis dalam rumah itu cuma dua, kemudian selebih isi rumah pula ialah anak-anak bujang yang kuat mengarah dan anak-anak buah nakal yang sedang ligat membesar. saya gadis dan dia gadis justeru saya faham beban emosi dan keterbatasan sabar dalam diri anak muda yang sedang mencari hidup.

sehabis kem menjelang ramadhan, timbul khabar angin baru dia lari mengikut teman lelaki. mungkin ini versi lanjutan dari versi khabar angin yang pertama. rumah kecil itu penuh dengan maki hamun, seperti mana sejak kami kecil; anak perempuan hanyalah jelmaan makhluk yang paling melecehkan dan selayaknya dibodoh-bodoh dan dibuli-buli. dan perkara biasa untuk anak gadis mencari kekasih berkongsi emosi, agar dapat dipujuk hatinya dengan kata-kata yang lembut dan membuai oleh kekasih tersebut. cuma yang nyata, dia sama sekali telah salah memilih kekasih.

dan pagi kelmarin, mama khabarkan yang gadis-pertama-waktu-kecil itu telah bernikah di sempadan dengan kekasihnya. yang terbayang dimata saya ialah teman sepinggan, segayung dan sebantal telah mengakhiri zaman gadisnya dengan cara begitu sekali; membelakangi keluarga. seisi keluarga bagai mahu meletup. bagi mereka jika ingin bersatu ikatan sekalipun, bukan begini caranya. dan malam tadi merupakan malam berbahang apabila 2 keluarga bersua muka dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah ketelanjuran pernikahan anak-anak.

tapi masalah tak akan selesai bila api bertemu api. pihak perempuan yang ego, pihak lelaki yang tersalah percaturan membangkitkan masalah lebih serius sehingga menjadi kes polis. pasti pagi esok seluruh isi kampung menadah telinga mendengar tersebarnya berita aib ini. mungkin saja sampai ke kampung sebelah.

namun, dia tetap antara gadis-pertama-waktu-kecil saya. dia naif, polos, jujur di waktu kecil. sebeban kesalahan sekalipun ditekan dipundaknya akibat masalah ini, saya tetap melihat dia sebagai seorang mangsa. mangsa yang dipersalahkan dan dihukum semahu-mahunya oleh mereka yang hanya memandang dan mendengar tanpa merasai sendiri.

dan wahai gadis-pertama-waktu-kecilku;

jangan biarkan jalan silap yang pernah kita lalui menjadi hantu yang menghantui, membuatkan kita terlupa masa depan yang masih banyak perlu disusun. kesilapan hanyalah permulaan segalanya. dan corakkan masa depan agar ia tak berakhir sebagai kesilapan lagi.