20120802

review buku; lasykar pelangi

projek-mega-cuti-sekolah nampaknya tidak berkembang dengan baik. malah menjadi mimpi tahi ayam yang jika diingat kembali boleh menimbulkan satu rasa yang huh (mengeluh) memalukan. jadi ramadhan kali ini,
bulan yang sepatutnya sibuk beribadat dan membuat kerja surirumah. tapi waktu ini jugalah buku-buku fiksyen menari goda-goda meminta dirinya dibaca.

dan buku yang masih dara belum disentuh memang bertimbun. jadi mahu pilih yang mana?


laskar pelangi the series, setiap pukul 4 petang di saluran Al Hijrah; salah satu sebab mengapa buku ini dipilih dari timbunan buku-buku fiksyen lain yang berada didalam almari. permulaan buku ini lebih kepada fakta-fakta yang membuatkan perjalanan pembacaan sedikit mendatar. pengetahuan am penulis sangat bagus sehinggakan setiap benda hidup disekelilingnya dia ceritakan dengan terperinci. tapi sangat membantu bagi pembaca yang suka berimaginasi. gambaran perkampungan melayu Belitong mampu digambar dengan bantuan fakta bunga mahupun burung. sangat mengesankan gaya penyampaiannya sehingga kita tertanya-tanya benarkah rumah staf di PN Timah bergaya victoria? nampak sungguh terkesan bukan.

tapi bahagian yang paling menarik dalam buku ini mestilah kisah 10 anak miskin dari sekolah termiskin di Belitong yang menggelarkan diri mereka laskar pelangi. 'laskar' dalam kamus dewan dieja dengan tambahan huruf Y iaitu 'lasykar' yang membawa maksud askar. dan setiap sepuluhnya mempunyai cerita masing-masing. kisah anak-anak yang gembira yang membuah ketawa. dan terselit juga kepayahan hidup melayu melarat di belitong yang bukan saja menyekat nikmatnya hidup malah membataskan pendidikan. membuatkan kita yang lengkap serba serbi mengutuk diri sendiri kerana masih tak mampu memberikan yang terbaik dalam pelajaran.

buku ini mempunyai plot waktu yang bercampur. dengan kata lain, plot waktunya tidak jelas. kadangkala narrator iaitu watak Ikal dengan senang menceritakan kisah masuk sekolahnya pada bab 1. kemudian pada penceritaan seterusnya dia bercerita tentang pengalaman lain laskar pelangi ketika di kelas 6. kemudian berbalik semula beberapa tahun kebelakang. membaca laskar pelangi seperti membaca sebuah diari panjang yang lengkap dan penuh dengan fakta. tapi tetap menghiburkan. narrator seperti cuba menceritakan pengalaman terbaik dari yang terbaik yang pernah dia miliki bersama teman-teman.

watak yang paling saya suka semestinya Mahar. dia seorang anak berfikiran pelik yang besarnya nanti akan menjadi seorang seniman. dia seorang tukang lipur yang suka berhikayat merapu dihadapan teman-temannya. ketawa pecah bila membaca kisah Akiong salah seorang laskar pelangi yang sangat taksub dengan Mahar sehinggakan setiap cerita-cerita karut Mahar ditelan bulat-bulat.

tapi terus terang, buku ini bukan jenis yang senang saya dalami. drama siri novel ini sedikit sebanyak membantu saya membayangkan setiap kejadian yang diceritakan dalam novel. kalau tidak ada drama siri, mungkin masa yang lebih lama akan digunakan untuk menghabiskan buku ini. tapi tak salah jika mencuba untuk baca. tak ada kerugian sedikit pun. dan sedikit cadangan yang mungkin membantu; cuba tonton filem atau dramanya dahulu sebelum mula membaca.

pengakhiran buku laskar pelangi digarap dengan plot kejutan, sedih, kecewa dan tawa. harus cuba rasai sendiri.

terakhir, kata-kata moral dari pak harfan untuk dikongsi;
dalam hidup haruslah memberi sebanyak-banyaknya, dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.=)