'saya akui Menara bukan mudah dibaca dan dihayai. ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan keberanian pembaca. tetapi seperti yang saya jelaskan, sebenarnya ia akan menjadi mudah jika pembaca memilih pendekatan menghayati dan mengaitkan yang tersirat dan bukan mencari alur cerita yang tersurat. Menara tidak usah dipanjat melalui teknik pembacaan yang konvensional. pembaca akan tersesat dan mudah jemu jika pendekatan pembacaan ini dipilih.'
prakata penulis saja menjangkau 7 muka surat. mula-mula saya tak endah dan lompat terus ke isi sebenar Menara. tapi pembacaan selalu tersangkut malah perlu diulang dan diulang. lalu buku yang saya beli januari 2011 ini saya tangguhkan sampailah sekarang. dan apabila membaca prakata semula, barulah sedar betapa konvensionalnya cara pembacaan saya selama ini. ok, pengajaran moral disini; janganlah lompat-lompat prakata.
Menara secara tersurat mengisahkan seorang arkitek yang berjaya mengukir nama apabila berjaya mereka bangunan 200 tingkat yang gah. menara 200 tingkat ini bakal dirasmikan khas bagi menggambarkan tahun 2000 yang bakal menyinsing. menara yang mewakili kemajuan dan kemodenan. watak utama pada mulanya tanpa nama. si arkitek menyimpan niat pada hari tersebut untuk mendaki menara hasil rekaannya. pendakian yang akan memakan masa dua hari melalui tangga dan bukannya lif. kerana baginya kecepatan teknologi telah membuatkan manusia karam dalam kesementaraan. pendakiannya akan berakhir pada hari dimana menara tersebut akan dirasmikan.
tapi menara bukan hanya sekadar cerita arkitek dan bangunan. ia adalah cerita tentang manusia dan kehidupan. jika dilihat arkitek tersebut secara luarnya berjaya dan bahagia, namum hakikatnya dia mengalami pergolakan jiwa dalam membuat pilihan sama ada ingin mengutamakan prinsip hidup atau tunduk pada tuntutan kemajuan. baginya Menara rekaannya adalah hasil kepura-puraan dan kelucuan manusia dalam menghambakan diri pada kemodenan.
arkitek ini mempunyai kelebihan iaitu setiap kali dia berkarya, dia akan didatangi igauan yang membantunya menghasilkan hasil rekaan yang cemerlang. disebabkan kelebihannya ini hasil lakarannya kerap menjadi perdebatan pensyarah-pensyarah. tapi sewaktu menghasilkan rekaan menara, si arkitek telah bertindak membelakangi igauannya.
setiap bab diselangselikan dengan subcerita yang lain. saya keliru sama ada subcerita itu pengalaman lepas si arkitek ataupun igauan-igauannya. watak Ilham dijelmakan penulis bagi membantu si arkitek membongkarkan sedikit demi sedikit kekacauan jiwanya pada pembaca. 200 tingkat didaki oleh arkitek bersama Ilham dan sepanjang pendakian itu arkitek berkongsi pengalaman dan ceritanya pada Ilham.
dihujung cerita pembaca akan dikejutkan dengan hakikat bahawa Ilham sebenarnya tak wujud. (aha bunyi macam menyeramkan!) yang selama ini menemani arkitek ialah bayang-bayangnya sendiri.
kesimpulan; karya Menara lebih banyak isi tersirat berbanding tersurat. sebagai pembaca amatur masih banyak yang saya tak dapat tangkap. kalau karya ini dibuat modul pembelajaran KOMSAS di sekolah pasti bergegar otak muda dan hijau.
p/s; manusia selalu tunduk sesuatu yang tak kekal dan menidakkan hak kepada sesuatu yang kekal.