20120813

review buku; mikhail

buku ketiga yang berjaya dilangsaikan pada cuti semester kali ini. buku yang ini dah lama diterbitkan iaitu sekitar 2009 dan saya beli di pesta buku tahun lepas. agak ketinggalan zaman kalau nak buat review lebih-lebih lagi bagi peminat tegar ramlee awang murshid. tapi alang-alang baru baca jadi saya kongsikan saja.

gambar waktu sahur

mikhail. pada pembacaan awal, ramlee awang murshid berjaya buat kita percaya pada apa yang ditulis pada sinopsis belakang buku. segalanya nampak terang, jelas. permulaan cerita, mikhail merupakan seorang pembunuh profesional. yang telah dilatih sejak kecil diluar negara oleh seorang warga amerika syarikat. berdasarkan novel ini, 'mikhail' kebiasaanya nama yang digunakan oleh orang rusia. tapi mikhail yang ini beridentitikan seorang lelaki melayu yang dikatakan telah menjadi yatim piatu kerana keluarganya dibunuh oleh rakan perniagaan ayahnya; tuan sadon.

tapi kebiasaanya buku thriller tulisan RAM tak semudah itu. jalan cerita mikhail penuh dengan konspirasi. bukan sahaja berkaitan dengan konspirasi korporat di syarikat-syarikat di malaysia. tapi konspirasi tersebut turut menjangkiti sistem kepolisan negara. ketamakkan dan korupsi pihak berkuasa. dan semuanya bertulangbelakangkan jenayah kuasa besar dunia. saya jamin kalau idea mikhail dikaryakan oleh penulis lain selain RAM pasti buku ini sangat membosankan. tapi kredibiliti RAM dalam menulis cerita thriller memang tak boleh dipersoal.

saya kira jalan cerita mikhail mungkin hampir dengan buku ADAM; aku-darah-anak-malaysia. mengisahkan konspirasi amerika syarikat dan sekutu dalam memecahbelahkan negara-negara lain khususnya negara islam. bagaimana amerika syarikat dan sekutu menyuntik 'virus' tanpa sedar dalam negara-negara lain dan melihat kehancuran negara-negara ini dengan tangan suci bebas dari tuduhan. malah mereka kononnya muncul sebagai hero, penyelamat dunia daripada keganasan pengganas dan kemudian menjadikan negara-negara islam sebagai kambing hitam.

tapi saya sendiri belum baca ADAM. buku itu terlalu berat (dan juga bosan) untuk saya baca ketika berumur 15 tahun sewaktu membelinya. dan sampai sekarang pun masih belum bernafsu untuk membaca. aduh.

seperti buku-buku thriller RAM lain, teknik penceritaan imbas semula digunakan. pada setiap bab, cerita pastinya akan 'digantung' membuatkan pembacaan semakin saspen dan menarik pembaca untuk terus mencari jawapan pada pembacaan yang seterusnya. tapi bagi pembaca tegar karya thriller ramlee pasti dapat mengagak trick beliau. ramlee akan membuatkan kita percaya sepercaya mungkin apa yang dikisahkan pada awal cerita dan kemudian membuat kejutan diluar kotak fikiran pada hujung cerita. ahhh dia memang genius.

jadi komentar saya; jika Mikhail adalah karya penulis underdog selain RAM, saya akan katakan penulis tersebut adalah luar biasa pemikirannya. tapi bila Mikhail dilabel bawah karya ramlee, jujur saya rasa tulisannya ini tak banyak beza jika dibanding buku-bukunya yang lain. bagi seorang pembaca yang sudah terbiasa membaca karya RAM, rentak tulisannya sudah boleh dijangka. jujur mikhail masih tak dapat menandingi karya-karya thrillernya yang menjadi kegemaran saya seperti rahsia perindu dan hatiku di harajuku.

mikhail ada lopong-lopong persoalan yang boleh dipersoalkan walaupun setelah selesai baca. saya rasa kena baca untuk kali yang kedua. mungkin soalan-soalan tersebut terselit jawapan tanpa saya sedar di celah-celah bab. tapi, mikhail bukan satu buku yang patut dilekehkan. ia ada standard tersendiri. lebih-lebih lagi keberanian ramlee dalam menyentuh tentang konspirasi negara-negara besar dunia dan kepincangan sistem kepolisan malaysia.

patut dalam senarai buku yang harus dibaca oleh peminat thriller. =)