tunjuk langit cinta tajuknya. dibeli sewaktu pesta buku 2011 bersama cik aina. yang paling istimewa, buku ini ada tandatangan si penulis iaitu shahrizad shafian. dia seorang perempuan berjilbab. ya, ber-JILBAB. sewaktu menerima autograf hanya sebaris mata dan kening yang kelihatan. dia sangat mesra, bertanya nama, menulis kata-kata semangat dan kemudian memeluk saya dengan erat.
pada awal saya hanya jangkakan tulisan penulis yang ini tak kurang jauhnya dari karya fatimah syarha. yang mana gaya tulisan fatimah syarha tersangat islamik, penuh dengan semangat daie dan kehambaan. tapi, TLC rupanya digarap dengan gaya yang sangat berlainan sekali. jika karya fatimah syarha lebih kena denga selera mereka yang sudah biasa dengan suasana tarbiah, karya shahrizad shafian pula sangat kena bagi mereka yang masih kosong dan mencari. bahasanya sangat lembut dan tenang. seperti sedang menonton filem khabir bhatia ketika membaca buku ini. kita tidak akan berasa terpaksa untuk menghabiskannya, malah didorong oleh rasa tak sabar untuk tahu apa yang akan berlaku pada setiap muka surat berikut.
novel ini menyentuh mengenai peluang kedua yang diberikan dalam hidup sesorang wanita, namun peluang kedua itu disampaikan tuhan melalui cara paling halus iaitu melalui kecelakaan hidup. watak utama iaitu seri hanum kehilangan seluruh ingatannya disebabkan kemalangan jalan raya sewaktu belajar diluar negara. penulis berteka-teki dengan pembaca mengenai apa sebenarnya terjadi pada seri hanum sebelum dia kemalangan. seri hanum mencari dirinya yang hilang, tapi yang dijumpainya adalah lain dari yang dicari.
setiap muka surat adalah debaran. setiap muka surat adalah keterujaan. kita boleh jadi sama-sama sedih dengan diri seri hanum yang hilang ingatan. tapi kemudian kita pula akan bersyukur dengan takdir hilang ingatan itu. membuatkan kita sedar, segala malapetaka yang terjadi tidak ALLAH turunkan jika bukan untuk menguji iman kita.
selain berunsur kerohanian, buku ini juga penuh dengan nilai kekeluargaan; kesabaran abang rosdi dalam mengembalikan ingatan adiknya. cinta bernafsu; kekhilafan seri hanum dan fahrin sewaktu belajar diluar negara. kekuatan mimpi; abi yang selalu hadir dalam mimpi-mimpi seri hanum memberinya petunjuk jalan keluar dari masalah rohani dan jiwa seri hanum. buku ini antara buku terbaik yang pernah saya baca. dan yang paling saya suka, setiap awal bab penulis selitkan potongan ayat-ayat alQuran dan kata-kata ringkas yang cantik sekali.
bab 36
jaga tepi kainmu sebaik mungkin kerana itu saja baju yang dikau ada.
jaga hati dia sebaik mungkin kerana mungkin itu saja yang dia ada.
dan Tuhanmu berfirman; berdoalah kepadaKu, pastiKu perkenankan bagimu; surah al mukmin:60