benci bila dalam otak aku kini sudah tidak menari-nari si ayat indah. fokus kini berpecah ke sini dan kadangkala ke sana. kebetulan aku dikejutkan dengan tampalan nama aku di dinding kecil milik jabatan ukur bahan. malangnya tampalan nama itu mengundang rasa terkilan teman-teman yang banyak membahu aku selama ini.
aku minta maaf.
bukan aku tak mahu berkongsi. cuma aku lebih selesa kalian melihat aku sebagai aku, dan bukannya sebagai seorang pelajar yang dapat keputusan tercorot mahupun keputusan terindah.
pernah aku baca satu kata-kata; sebolehnya janganlah kau membicarakan berkenaan jumlah harta yang kau ada pada manusia lain. kerana mungkin akan berlaku dua perkara; sama ada kau akan direndahkan kerana jumlah harta kau yang sedikit mahupun kau akan menimbulkan rasa tak senang yang lain atas apa kau miliki.
aku mahu manusia-manusia sekeliling aku melayan aku dengan rasa se-neutral mungkin. tanpa dipengaruhi apa-apa 'harta' dunia. pandanglah aku sebagai teman yang berada di kiri, kanan, belakang mahupun depan dan bukannya sebagai pesaing yang mahu merebut apa yang manusia lain miliki.
kalian jangan kecil hati. apa yang kita dapat sekarang hanya nombor dua titik perpuluhan. itu tak menggambarkan langsung tahap kepandaian manusia. jangan hanya kerana dua titik perpuluhan kita berbeza hati, rasa dan berselisih. mereka hanya nombor-nombor bodoh tanpa roh.
sekali lagi, aku benci bila dalam otak aku kini sudah tidak menari-nari si ayat indah. kerana aku lebih gembira hidup dengan ayat-ayat itu berbanding dengan hidup dengan si-dua-titik-perpuluhan yang gampang benar buat orang terkilan.