tahun lepas aku ada campak benih pokok bunga secara random dalam beg sekolah aku. beg sekolah ajaib aku hanya boleh kesan biji benih yang tertentu sahaja, yang sesuai untuk tumbuh. ada biji benih berkualiti ratusan ringgit, ada juga biji benih tepi jalan, tak kurang juga biji benih yang aku terjumpa. banyak. kesemuanya aku masukkan dalam beg sekolah ajaib aku.
lalu tahun ini nampak hasilnya. walaupun satu dua pokok yang mula bertunas namun berjaya membuatkan jantung aku mengepam suka luar biasa. cuma dalam bulan lepas salah satu tunas aku dicuri orang. aku mulanya tak hiraukan, cuma lama-kelamaan aku mula jadi rawan.
aku jadi tercari-cari tunas yang satu itu.
aku tak kisah dia diambil orang, cuma aku minta jagalah tunas yang masih lembut, hijau itu sebaiknya. genap setahun berlalu, aku jadi rindu. mengenangkan memori belakang saat aku menjaga biji benih dengan penuh kasih sayang. merenjis air, menguis-guis tanah untuknya dan seribu memori lain lagi.
beberapa hari lepas aku terjumpa seorang lelaki tampan dengan pasu bunga ditangan. lelaki itu senyum pada aku. dia bilang, dia sedang menjaga pokok tak bertuan. pokok yang dicicir pemilik asalnya yang lalai. dan pokok hijau yang masih tak berbunga itu aku kenal benar.
itu tunas aku yang hilang.
aku pandang lelaki tampan itu, pandangan simpati agar dia pulangkan kembali milik aku. nampaknya dia buat-buat tak faham. dia cuba menggunakan mukanya yang tampan agar aku kalah pada permintaan aku sendiri.
ahhhhhh. lelaki tampan bermain kata-kata;
'biar aku jaga dia sampai dia menguntum bunga, pasti cantik' dia senyum manis bergula.
dan aku; menjeling-jeling pasu bunga di tangan dia, sentiasa mencari peluang rampasan kembali disaat dia leka. aku bisik pujuk;
'andai kau tak berbunga nanti anak pokok, lalu dia buang kerana fikir kau tak berguna, jangan risau kau masih ada aku yang akan semai dan tanam kembali kau dalam beg ajaib aku.'
tapi melihatkan senyum bahagia lelaki tampan, aku tahu dia sedang gembira menanti bunga yang bakal mengembang ditangannya.
p/s; dimana-mana pun doa aku satu, semoga bahagia si pokok bunga..