banyak hari dah berlalu, banyak minggu dah terluak, dan aku semacam sunyi tiada khabar. bukan aku tak mahu mencatat atau bercerita cuma terlalu banyak yang terjadi pada aku dalam lingkungan enam-puluh-hari ini. aku rasa kalau aku seorang penulis surat khabar pasti sepanjang tiga puluh helai muka surat (kalaulah ada tiga puluh helai) hanya akan tercetak cerita hidup aku yang chaotic - dan pastinya aku kena pecat oleh editor kalau aku benar-benar tulis begitu.
kebetulan ramadhan kali ini datang dengan cara yang tersendiri dalam hidup aku. menyaksikan lampu kelip-kelip tergantung cantik di icu dan sepertinya mahu berlawan dengan wad sebelah siapa yang paling meriah. ini boleh jadi salah satu sebab aku malas menulis panjang. aku cuma penat mahu menulis dimana akhirnya taipan aku akan ada unsur-unsur melankolik, yang kemudian bila dibaca semula aku pula semakin depresi, dan hal ini kurang baik untuk aku. cuma aku tetap percaya Rabb tersangat kaya menyusunkan semua ini dalam bulan muliaNya,
-Dia hanya tak mahu kami bersedih berramadhan di rumah kala momen-momen kehilangan masih hangat diudara.
tapi syawal juga tak menjanjikan bahagia, kami masih diugut dan dimomok oleh rafiq-rafiq hospital menjadikan raya kami kurang aman. mahu pulang kerumah juga boleh jadi satu dilema. cuma aku lega bila rafiq kamal yang baik hati bersemuka dengan kami sekeluarga membincang hal-hal masa depan dengan cara yang sangat berlapik (sekurang kurangnya itu boleh buat mama senang hati) berbanding cara rafiq shanti yang agak berterus terang dan tak sensitif .
aku tahu kalau aku menaip lebih lanjut sekalipun agak sukar untuk hadam hujung pangkal cerita, maaflah untuk cerita secara terperinci dari pangkal pun aku rasa semangat dah tawar, mungkin sebab aku dah berjuta kali mengulang cerita yang sama pada yang bertanya (pada yang hanya pandai bertanya tapi tak pandai melihat!)
baki cuti semester masih tinggal sebulan. aku kadang-kadang masih mengharap keajaiban akan berlaku dimana aku bakal sempat berpencak di gombak 18 agus ini, tapi aku tahu itu mustahil - seperti biasa aku sedapkan hati aku dengan alasan 'bukan rezeki' dengan rasa kecewa yang tertahan-tahan. tapi aku masih ada plan B; aku doa aku tak terlalu sedih sebelum buka sekolah september nanti supaya sekurang-kurangnya aku boleh baca 2 atau 3 buah buku fiksyen yang masih berbalut plastik dalam almari.
sekiannya, asbab aku menaip kali ini kerana aku mahu lorekkan peristiwa ini sebagai titik penting dalam hidup aku dan keluarga. titik pengubah, titik penanda. supaya bila aku dah tua aku masih boleh baca dan ingat apa yang pernah terjadi pada kami hari ini. bila kami diajar untuk membuat pilihan antara hidup dan mati, antara harapan dan putus asa. titis-titis air menitik yang berjaya membuat lekuk dalam hati aku.
masa-masa emas yang tuhan aturkan buat kami.
*kota lumpur, 28/9/1434.