20131212

100 hari

hari ini baru masuk tahun 2000 tapi orang kampung (baca; firdaus) dah sibuk memikirkan apa yang akan jadi bila malaysia dah capai 2020, dan aku pun tak terkecuali. firdaus kata nanti ada kereta terbang, aku tambah (mesti hebat lagi) mungkin ada basikal terbang. disebabkan zaman kecil-kecil sikap kiasu aku sangat menebal, jadi firdaus terpaksa mengalah.

firdaus merajuk bawa diri ke dapur dan aku duduk di ruang tamu sambil mengira-ngira umur aku bila dah masuk tahun 2020.

abah, abah nanti umur eyah tahun 2020 dua puluh lapan tahun. cakap aku sengih dan pandang abah.

iye.

umur abah pula?

eh kiralah, kan pandai.

malangnya aku tak tahu umur abah berapa tahun ini. aku pandang abah; alahhh abah berapa umur abah 2020 nanti?

hmmm, -abah buat-buat fikir sambil bega-bega muka. masa tu abah dah tak ada dah..

abah senyum.

alahhhhh abahhhhh!

aku paksa diri aku ingat perbualan ini pada tahun depan, tahun depan dan tahun-tahun berikutnya, sebab aku mahu ingatkan kembali abah hal ini bila tepat masuk tahun 2020. mahu beritahu dia bahawa dia tipu aku waktu aku umur lapan tahun 20 tahun yang lalu. tapi, aku tak sempat. mungkin Tuhan tak bagi aku cakap kat abah yang dia tipu. tiga belas tahun selepas itu, kata-katanya rupanya benar.

p/s; abah, kami rindu abah.