20151015

teater

semalam aku menghabiskan malam aku dengan ratapan zainuddin dalam surat-suratnya untuk haryati. aku hanya temenung dalam panggung tingkat ketiga, terkadang takjub, terkadang simpati tentang bagaimana hidup ini mempermainkan manusia yang terlalu menyembahnya. 

disebabkan aku ialah seorang yang sangat mudah masuk dalam dunia buatan, jadi malam tadi aku terbang sebentar ke Padang untuk turut bersama zainuddin berteduh di bawah pondok dalam hujan di lewat petang. aku jadi saksi yang pada masa itu petang sangat basah, hujan sangat syahdu dan ada dua hati yang terapung apung indah di atas langit. petang waktu haryati berjanji akan tetap setia selama mana bumi berputar membuatkan aku yang ketika itu bersandar di pokok sambil melihat mereka jadi simpati, kerana sejak dari awal sudah aku tahu janji itu bakal terbang, hilang seperti tidak pernah diucap sesiapa. aku hanya termenung di tingkap bilik rumah kedai zainuddin tatkala haryati datang dengan jari merah berinai, membuatkan cermin yang berkecai ditumbuk paku saling tak tumpah sama dengan hati zainuddin. 

dunia memperlihatkan pada haryati sebelum dia meninggalkan kita semua bahawa keberuntungan sentiasa akan lari jika kita terlalu mahu mengejarnya, dan akan datang semula bila kita berhenti mendamba dan duduk menerima apa yang ada sebaik mungkin. seikhlas hati. 

dan haryati telah tersilap menduga untung, 

lalu bersama kapal van der wijck, dia membawa sekali rasa sesal, rasa ego zainuddin dan cerita mereka yang sudah habis.

benar kata zainuddin, sebenarnya haryati sudah lama mati. yang tinggal kini hanya jasad bernama haryati, sedangkan tanpa zainuddin tahu, dia sendiri rupanya sudah tinggal hati yang seluruhnya sudah kosong isi.

dunia sedang mempermainkan kita haryati. kita, semua.

p/s; mahu beri tahu diri aku yang berumur 14 tahun bahawa dirinya akan lihat tenggelamnya kapal van der wijck di pentas istana budaya sembilan tahun nanti