20160107

edisi khas

avicenna lebih redup sekarang berbanding kali pertama aku datang sini dulu, lebih kurang dua tahun lepas. kali pertama masuk sini aku rasa avicenna sunyi sepi, gaya hospital banting. lepas mula menginap sini sejak semester lepas, aku rasa tersangatlah hambar. tak ada apa yang menarik selain bakal bakal doktor yang ke hulur hilir dengan kot putih dan penekap telinga yang jarang boleh lihat di menara budi. jadi mulanya sedikit teruja dengan makhluk makhluk berkot, tapi lama lama kami jadi biasa dan anggap rutin pelajar perubatan yang keluar pagi balik malam agak menyedihkan. berbahagialah kalian dengan sesuatu yang kalian suka dan persetankan kata kata penjatuh semangat aku ini (?)

berita bagusnya, aku mula sedar aku dan eksplorasi tempat baru berpisah tiada.

jadi aku gunakan awal kemasukkan ke sini dengan merayau rayau sekitar kolej, cari tempat tempat menarik, mengendap sana sini, naik tangga dan turun, masuk dan keluar, panjat dan lompat. baring. duduk dan termenung. berjuta aku rungut sejak di sini; kakak kedai runcit berlagak, jauh dari jalan besar, dekat dengan bilik mayat, tiada aktiviti, kolej mati, jauh dari tasik yang menyebabkan aku malas berjogging, kereta lalu macam pelesit dan blablabla. aku mula banding bandingkan sini dan tempat lama. aku rasa menara budi lagi sentimental, lebih kena dengan jiwa. aha. sesuatu yang tak akan aku mengaku waktu duduk sana dulu. biasalah manusia hanya akan menghargai bila dah tiada depan bulu mata (tembak kepala)

tapi lepas lebih satu semester aku rasa seronok dengan semua kehambaran di sini, disebalik senyap sunyi ada indah, ada semangat kemenangan, ada lisa kucing berloceng yang sedikit celaru, ada rooftop tempat keringkan rambut yang paling escape-place. ada banyak ruang pelarian disini dan aku mula rindu semuanya meskipun aku belum tinggalkan lagi. dan tanpa sedar aku mula masuk zon selesa yang bagi aku sangat tidak sihat untuk jiwa gipsi aku.

semester depan aku tak disini, dari awal sudah siapkan tugas setiausaha kelab persembahan sampai malam supaya abang kepada kucing lisa tak akan cari aku lagi untuk buat laporan semester depan. anggaplah bernomad itu aku dalam mencari tempat baru supaya diri kembali belajar eksplorasi dan keluar dari zon selesa. mungkin semester depan avicenna akan dipandang dari tingkat tujuh mercu dengan rasa sayu, sama macam aku pandang menara budi dari dalam bas sejak dah bergelar bekas penghuni.

hmm masa memang turun terlalu lebat sampai payung sendiri tak dapat selamatkan sikit pun sisa memori dari terlekat di tubuh.