20180119

simptom

tipulah kalau aku kata perjalanan aku selepas graduasi seindah cerita-cerita di instagram. dua tahun setengah memperlihatkan aku tidak punya apa-apa. tinggal di kota petaling-yang mungkin kurang sikit lemas berbanding ibu kota lumpur- menuntut hampir seluruh tenaga dan hasil aku. tidak makan mewah, tidak berpakai molek, tidak beroda empat, apatah lagi berlibur pijak pasir sambil berfoto tepi pantai.

okay, mungkin aku kurang tuah dalam hal-hal material, tapi harus aku akui dalam hal-hal yang melibatkan waktu aku sedikit menang. meski tak hidup mentereng seperti kawan bekas sekuliah lain, tapi sekurangnya aku tak pulang lewat dari kantor 7 hari berturut-turut, ataupun menangis tertekan kerana kerja yang tidak punya hati lagi menyesakkan. tapi yelah, kontranya tetap terletak di posisi yang sama - tak banyak waktu yang terluang pada kerja menyebabkan aku kurang cekap, kurang pengalaman, kurang ilmu berbanding mereka yang betul-betul gunakan 2 tahun setengah ini BERKERJA. atau dengan kata lain; kalau nak dibandingkan aku dengan pengukur lain mungkin tahapnya berbeza seperti budak tadika dan budak UPSR,

tapi aku kira aku bernasib baik dan mahu peluk Rabb secara virtual tentang apa sahaja yang Dia berikan pada aku.

kerana 2 tahun setengah ini mengajar aku banyak benda (walaupun bukan dalam hal kerja). aku ditempatkan bersama golongan peringkat umur yang sudah senior, bermakna aku paling muda dan jagung disitu, lalu disebabkan itu aku belajar sesuatu yang sangat berbeza dengan ketika aku kuliah dengan rakan sebaya. meh sini andaikan; andaikan bila kau sentiasa melihat dari arah depan, berkawan dengan golongan yang berbeza dengan kau adalah seperti melihat footage cctv dari arah belakang. faham? (lebih kurang begitulah, kawan). menjadi yang paling muda juga menuntut aku menjadi orang yang lebih memberi; memberi tolong, memberi tangan, memberi telinga, memberi sabar dan memberi hati.

hal yang kedua aku dapat adalah tentang apa itu cukup.

cuba kau bayangkan, aku pernah terima gaji bulanan 1.5k sahaja. hidup di kota dengan nilai begitu sesak kawan, sesak. tapi aku cuba ajar diri aku meletakkan sepenuhnya kepercayaan pada Rabb, yang cukup itu bukan pada nilai tapi lebih kepada barakah. duit yang ada aku susun dan agih sebaiknya, bayar bil, komitmen, dan serahkan sedikit pada mama, alhamdulillah cukup malah ada sedikit lebih baki. malah bulan itu akan aku kenang sebagai bulan aku mula menjadi perempuan yang bangsa melayu aku mahu iaitu 'perempuan yang tahu memasak'. aku balik rehat tengahari semata-mata untuk masak apa yang ada untuk alas perut. haih hidup mengajar kita sesuatu dan kita mengikutnya dengan rela, bukan?

aduhai, bila lihat aku tulis panjang-panjang begini buat aku mengeluh. ya aku dah menua, dan suka berleter panjang adalah simptomnya.