20121223

500 tahun kebelakang

berbekalkan imaginasi, aku menghantar roh aku 500 tahun kebelakang. cuba membayangkan sampan-sampan kecil yang penuh dengan muatan barang dagang sedang melalui sungai ini. aku sedang melalui aliran sungai yang sibuk dengan perdagangan. latar bunyi dipenuhi bahasa manusia dari pelbagai pelosok, ada yang berbahasa cina, melayu laut, melayu istana, melayu riau, dan bahasa lain yang aku tak ngerti. di tebing sungai ada yang berjualan, anak-anak kecil berlari antara ramai, hamba berbaju guni memikul barangan. mungkin juga hang tuah sedang berjalan dikalangan sesak manusia disitu.

500 tahun kebelakang.

dan kemudian aku masuk ke dalam isi flor de la mar. pemandu pelancong kata ianya bermaksud bunga di lautan. kebetulan aku pernah baca faisal tehrani tentang kapal perang portugis yang ini. bagaimana kapal yang sudah uzur dipaksa alfonso menyeberangi laut dengan muatan penuh hasil rompakan kekayaan melaka. dalam perut kapal turut disumbat bijak pandai melaka yang akan dipersembahkan pada raja portugis nanti.

500 tahun kebelakang.

kapal ini yang telah menamatkan kemasyhuran kesultanan melaka, dan aku di dalamnya menuruni tangga, menaiki dek, menyentuh dinding, memperlihatkan kisah 500 tahun lalu yang terjadi di dalam kapal ini. tapi sebenarnya kapal ini cuma replika, flor de la mar yang tulen dah karam di tengah laut bersama kekayaan istana melaka dan bijak pandai penenun dan pengukir kayu melaka.

dalam sedar aku kagum; di atas tanah dan bawah langit yang sama, segala yang diluar imaginasi kita sebenarnya pernah berlaku hebat.